Kenapa Hidung Boleh Berdarah atau Mimisan?

Apakah Fungsi Hidung?

Sebelum kita bersembang lebih jauh, mari kita meneliti terlebih dahulu apakah fungsi utama hidung yang dicipta oleh Pencipta yang Maha Agung ;

1. Rerambut dan mukus di tepi dinding hidung - menjalankan proses penapisan udara dengan memerangkap habuk. Pada masa yang sama udara juga akan dihangatkan. Sebagaimana yang kita maklum, udara pernafasan yang tercemar atau dingin adalah berisiko mengancam kesihatan manusia.
2. Tulang nasal – secara istimewanya dibentuk untuk memanipulasi pergerakan udara supaya hanya kandungan udara yang telah menjalani kitaran di bahagian hidung dan yang telah dihangatkan sahaja yang masuk ke dalam paru-paru.

Subhanallah. Sudah tentulah rekaan yang sedemikian bijaksana datangnya daripada Pencipta yang Maha Hebat!

Kenapa Hidung Boleh Berdarah Dengan Mudah?
Permukaan dalaman hidung dilapisi membran mukosa (lapisan lembap yang menggalas struktur berongga seperti saluran pernafasan) supaya kulit sentiasa lembap. Membran mukosa ini mempunyai banyak salur darah yang sensitif dan mudah luka.

Apakah Pula Punca Berlakunya Pendarahan?
Antara punca yang seringkali menyebabkan pendarahan hidung:

1. Trauma atau Kecederaan
• Berlaku akibat:
- mengorek hidung dengan kuku tajam atau jari pada mukosa hidung yang radang
- bersin atau menghembus hidung terlalu kuat
- jangkitan seperti selsema
- cuaca yang terlampau panas atau sejuk sehingga menyebabkan kekeringan lapisan mukosa hidung
- patah hidung
• Trauma membawa kepada luka pada lapisan membran hidung yang kaya dengan saluran darah.
• Tahap pendarahan bergantung kepada saiz dan jenis pembuluh darah terbabit. Jika satu arteri besar yang terbabit, maka pendarahan menjadi serius dan tidak terkawal

2. Penyakit Hidung
(a) Rhinitis atau Resdung
• Berlaku akibat:
- radang pada membran mukosa yang diserang virus atau bakteria
- tindak balas kepada alahan.
• Hingus yang keras dan melekat pada membran mukosa akan menyebabkan luka bila hidung dikorek.
• Kerap berlaku kepada kanak-kanak.
• Pendarahan biasanya sedikit dan berhenti dengan sendiri tetapi boleh berulang.
• Pendarahan boleh dicegah dengan mengubati penyakit rhinitis.
(b) Kanser Nasofarinks (pangkal hidung)
• Kerap berlaku di Malaysia, terutama kepada masyarakat keturunan Cina yang berumur empat atau lima puluhan ke atas.
• Gejala paling biasa adalah hidung berdarah.
(c) Kanser Rongga Hidung
• Sejenis ketumbuhan di pangkal hidung yang boleh berlaku kepada kanak-kanak lelaki berumur belasan tahun.
• Hidung boleh berdarah dengan banyak.

3. Penyakit Lain
(a) Tekanan Darah Tinggi
(b) Penyakit Darah seperti myeloma, leukimia dan limfoma yang menyebabkan pembuluh darah tidak mengecut

4. Kesan Sampingan Ubat-Ubatan
Penggunaan ubat seperti aspirin, warfarin dan ubat antikeradangan bukan steroid (NSAIDs) boleh juga menyebabkan pendarahan.

Dua Jenis Hidung Berdarah :
A. Hidung berdarah dari depan (anterior)
Pendarahan jenis ini bermula pada bahagian septum iaitu dinding yang memisahkan dua lubang pada hidung. Septum mempunyai banyak salur darah yang mudah luka apabila kita menghembus nafas terlalu kuat, terkena objek tajam seperti hujung kuku, cuaca yang terlalu panas dan kering sehingga membran hidung menjadi ’retak’, menggelupas dan berdarah.

Kriterianya adalah:
• Hidung berdarah berlaku dari depan bahagian hidung
• Darah keluar daripada salah satu lubang hidung atau kedua-duanya sekali
• Walau dalam keadaan pesakit sedang berdiri ataupun bangun.

B. Hidung berdarah dari belakang (posterior)
Pendarahan jenis ini jarang berlaku.
Kriterianya adalah:
• Hidung berdarah berlaku jauh ke dalam hidung
• Darah mengalir keluar melalui bahagian belakang mulut dan tekak
• Walau dalam keadaan pesakit sedang berdiri ataupun bangun.

PENJAGAAN SENDIRI
Untuk menghentikan hidung berdarah dari depan
• Bertenang, duduk menegak (jangan baring), tundukkan sedikit kepala dan picit bahagian hidung yang lembut dengan menggunakan jari telunjuk dan jari ibu - tekan dengan kuat menghala ke muka dan mampatkan bahagian hidung yang dipicit sehingga menampan tulang muka.
• Tahan selama 5-10 minit (bernafas hanya melalui mulut sahaja dan jika perlu boleh meludah darah yang mungkin keluar dari mulut).
• Lepaskan picitan selepas 10 minit dan tengok sama ada pendarahan sudah berhenti.
• Jika pendarahan belum berhenti, ulang picitan sekali lagi.
• Letakkan ais (yang dihancurkan dalam kain bersih) ke dahi dan pipi.

Untuk mencegah hidung berdarah semula setelah berhenti
• Jangan picit atau menghembus hidung
• Jangan kesat atau korek darah beku di dalam rongga hidung
• Jangan membeban atau membongkokkan badan untuk mengangkat sesuatu yang berat
• Jangan tunduk atau meletakkan kepala di bawah paras jantung untuk jangka masa yang lama.
• Usah biarkan hidung menjadi terlalu kering (anda mungkin perlukan ubat sapu antibiotik pada hidung atau sentiasa membasahkan hidung dengan air)
• Jangan memasukkan sesuatu ke dalam hidung seperti kertas tisu atau mengorek dengan jari.

JUMPALAH DOKTOR JIKA...
• Hidung masih berdarah dan tidak mau berhenti atau telah berhenti tetapi datang semula
• Pendarahan semakin cepat atau terlalu banyak darah yang keluar
• Jika anda terasa letih atau pitam kerana kemungkinan ianya disebabkan oleh kehilangan darah yang banyak
• Darah mula mengalir melalui bahagian belakang tekak dan tidak dari bahagian depan hidung

Langkah seterusnya yang dilakukan di hospital atau klinik ialah memberi resusitasi kepada pesakit serta melakukan pemeriksaan endoskopi hidung untuk mencari tempat dan saiz pendarahan serta puncanya.

Langkah ini mungkin memerlukan pemeriksaan lanjut seperti pemeriksaan fizikal pesakit, tekanan darah, ujian darah dan pemeriksaan radiologi jika perlu.


 http://klinikummi.blogspot.com